Sunday, 9 March 2014

10 ) PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

PERMAINAN GETAH

Pengenalan

Permainan ini dinamakan 'main getah' kerana bahan yang digunakan ialah getah halus berbentuk gelang yang digunakan sebagai pengikat bungkusan atau barang-barang kecil. Ia sesuai dimainkan oleh kanak-kanak lelaki atau perempuan dan biasanya mereka bermain di dalam rumah. Tempat bermain adalah di atas simen atau lantai papan yang tidak berlubang. Permainan ini merupakan permainan masa lapang terutama di musim hujan kerana pada masa itu kanak-kanak terpaksa berada di dalam rumah. Untuk meluangkan masa lapangnya mereka melakukan permainan ini.

Cara Bermain

 Permainan lompat getah ini dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak. Permainan ini menggunakan bahan seperti gelang getah yang disambung panjang dan diikat mati pada hujung sambungan getah tersebut. Permainan ini memerlukan 2 orang untuk memegang hujung getah di kiri dan di kanan dan pemain lain akan melihat pihak lawan bermain mengikut turutan. Jika pihak lawan kalah kerana melanggar peraturan yang ditetapkan seperti tidak boleh menyentuh getah sewaktu bermain iaitu dari paras tapak kaki ke peha dan ketua tidak dapat menghidupkan anak-anak buahnya maka pihak lawan pula yang akan memegang getah tersebut dan seterusnya permainan ini dimainkan oleh mereka

Peraturan yang harus pemain patuhi


Bil.
Peraturan-peraturan
1.
Untuk  menentukan ahli kumpulan, kebiasaannya kaedah lai lai li tam plom akan digunakan dan ketua kumpulan akan menggunakan kaedah ow som untuk menentukan kumpulan mana yang akan bermain dahulu. Jika tiga permain sahaja, kaedah ow som akan digunakan.
2.
Ketua akan memulakan permainan, diikuti anak-anak buahnya. Jika salah seorang anak buahnya melanggar giliran, kesemua ahli pasukan termasuk ketua akan mati dan pasukan lawan pula yang akan bermain.
3.
Pada permulaan permainan ini, getah dipegang tegang pada paras tapak kaki. Semua yang melompat ketika ini perlu menyebut "zero point" atau "kosong game" (bagi orang kelantan). Pemain tidak boleh menyentuh tali. Jika tidak, pemain itu akan mati.
4.
Kemudian, getah dipegang pada paras lutut. Pemain perlu melompat tanpa menyentuh getah dan diikuti oleh pemain lain dalam kumpulan yang sama.
5.
Seterusnya,getah dipegang pada paras paha. Namun, paras ini boleh ditinggalkan dengan persetujuan kedua-dua pasukan. Setiap lompatan, anggota badan tidak boleh menyentuh getah.
6.
Seterusnya ke paras pinggang. Pada paras ini pemain boleh melompat dengan menyentuh getah.
7.
Diikuti pada paras dada.
8.
Seterusnya ke paras telinga. Pada paras ini, pemain yang memegang getah perlu berhati-hati agar tidak cedera.
9.
Kemudian ke paras kepala.
10.
Seterusnya, getah sejengkal dari atas kepala. Boleh dikecualikan dengan persetujuan kedua-dua pasukan.
11.
Jika pemain melepasi setiap paras sebelum ini, seterusnya pemain akan bermain mengikut cara huruf z dan c pada paras pinggang.
12.
Seterusnya, setiap pemain akan melompat pada paras pinggang sambil menutup mata. Jika ada pemain yang mati pada paras yang sebelum ini, pemain itu boleh dihidupkan kembali jika pemain lain tolong membuat satu lompatan lengkap untuknya (bilangan mengikut persetujuan kedua-dua pasukan). Merupakan penamat kepada pusingan pertama permainan.






9) PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

PERMAINAN GULI

Pengenalan

Permainan guli, yang juga dinamakan sebagai Kelereng, merupakan permainan tradisional melayu yang digemari oleh kanak-kanak pada masa lapang mereka. Ia biasanya dimain oleh kanak-kanak lelaki yang berumur antara tujuh hingga dua belas tahun. Mereka biasanya bermain di tempat yang teduh. Guli juga, biasanya, dimain pada musim panas atau kemarau. Ini kerana pemain mengharapkan tanah kering untuk lubang yang akan digali. Apabila tanah becak, permainan guli tidak seronok kerana buah guli akan menjadi lenget.
Pada zaman dahulu, potongan-potongan kayu dibulatkan sebesar sebiji telur ayam untuk dijadikan sebuah guli. Selepas Perang Dunia Pertama, guli dibuat dari bahan kapur yang diadun dengan simen. Ia sebesar ibu jari kaki. Sekarang, guli diperbuat dari bahan-bahan kaca dengan ukuran yang pelbagai saiz, dari ukuran jari kaki kelingking hingga ibu jari kaki.
Guli dimainkan secara melontarkan guli dengan tepat dengan mengenakan sasarannya. Jumlah pemain pula tidak melebihi lima orang. Kawasan tanah rata dan lapang merupakan kawasan yang paling sesuai untuk menjadi gelanggang bermain guli. Guli yang digunakan sekarang diperbuat daripada kaca.

Cara Bermain

Satu bulatan dilukiskan di atas tanah yang berukuran garis pusat 1m.
Sebuah lubang sebesar 10sm, lebar dan sedalam 7sm dilekukkan di tengah-tengah bulatan.
Tanah dilekukkan dengan menghentakkan tumit kaki ke tanah.
Lubang tersebut dinamakan lubang induk.
Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3m daripada bulatan besar tersebut.
Garisan ini adalah penanda mula tempat permainan.












Saturday, 8 March 2014

8) PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

SEPAK TAKRAW

Pengenalan

Permainan sepak raga telah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada masa itu permainan ini dimainkan oleh golongan bangsawan.Rakyat Biasa juga menggemari permainan ini. Pada masa sekarang sepak raga lebih dikenali dengan nama sepak takraw. Ia bukan hanya dimainkan oleh orang Melayu sahaja tetapi bangsa-bangsa lain, malah telah dikenali di seluruh.
Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.

Cara Bermain

Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.







7) PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

WAU

Pengenalan

Permainan wau ini juga dikenali dengan layang-layang.Permainan wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan sejak kurun ke 15. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Wau dicipta dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nama tersendiri seperti wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah dan wau barat. Begitupun wau bulan sangat digemari oleh orang Melayu. Reka corak biasanya bermotifkan awan larat akan menghiasi kebanyakan wau yang dihasilkan dan diwarnakan dengan pelbagai warna. Selain dijadikan bahan permainan, wau juga menjadi hasil kraftangan dan hiasan dinding

Cara Bermain

Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi yang dipanggil juru anjung akan memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang berwarna-warni itu.






6) PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

GASING

Pengenalan

Gasing popular di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan. Terdapat pelbagai jenis gasing di Malaysia seperti gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang. Kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.

Cara Bermain

Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.

Gasing pinang pula dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu.

Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.







5) PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

GALAH PANJANG

Pengenalan

Galah panjang adalah sejenis permainan tradisional yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah kosong. Gelanggang yang dibuat mengandungi 2 lajur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain. Gelanggang galah panjang dibuat mengikut bilangan pemain yang bermain galah panjang. Contohnya jika pemain ada 10 orang, gelanggang yang dibuat mengandungi 4 baris. Jika bilangan pemain sebanyak lapan orang, gelanggang galah pnjang mengandungi 3 baris. Permainan ini melibatkan kepakaran seorang ketua atau ibu untuk mengawal gerakan anak buah bagi pihak yang mengawal gelanggang. Manakala kecekapan dan kepantasan teruji kepada pihak yang menempuh gelanggang. Jika pihak menempuh gelanggang mempunyai kebijaksanaan menempuh gelanggang, maka mereka boleh menang dengan mudah.

Cara Bermain


Cara permainan galah panjang tidaklah sesukar mana tapi ia dapat menguji kepintaran, kecekapan dan kepantansan setiap pemain.
  1. Gelanggang galah panjang di lakar diatas tanah yang lapang. Panjang dan lebar bergantung kepada pelukis garisan dan bilangan pemain. Selalunya satu petak galah panjang berukuran lebih kurang 2 meter x 1.5 meter.
  2. Selepas pemilihan dilakukan, setiap kumpulan akan melakukan pemilihan ketua. Ketua dari kedua-dua kumpulan akan mengundi siapa yang menjaga gelanggan dan siapa yang menempuh gelanggang.
  3. Selepas penentuan, kumpulan yang menjagaa gelanggang akan menjaga gelanggang dengan berpijak diatas garisan yang dilukis tadi. Ketua akan menjaga garisan tengah dan bebas pergi kemana-mana garisan depan atau belakang.
  4. Kumpulan menempuh gelanggang akan berkumpul di depan, seterusnya ketua akan menyapakan tanganya dengan ketua pihak lawan. Seterusnya merka belari masuk ke dalam gelanggang.
  5. Penjaga akan mejaga kawasannya agar pihak penempuh tidak melepasi garisan yang dijaganya.
  6. Penempuh akan menempuh sampai melepasi garisan paling akhir tanpa disentuh oleh penjaga gelanggang dan kemudiannya berpatah balik.
  7. Kemenangan tercapai apabila orang yang telah melepasi garisan paling akhir melepasi garisan permulaan. Dan permainan diteruskan sehingga ada pemain yang ingin berhenti.

Syarat Bermain
  1. Jika penjaga gelanggang dapat menyentuh anak buah, maka anak buah akan mati atau tamat gilirannya bermain dan dikehendaki keluar gelanggang.
  2. Jika penjaga gelanggang menyentuh ketua, maka seluruh ahli penempuh akan tamat giliran dan akan bertukar giliran antara penjaga dan penempuh.



4) PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

KONDA KONDI

Pengenalan

Konda-kondi juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang.
Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.

Undian secara 'wan to som' dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.


Cara Bermain

Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang.

Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.

Permainan Kedua

Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat.

Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.

Permainan Ketiga
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.

















3) PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

BATU SEREMBAN

Pengenalan

Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Sering dimainkan di waktu lapang.Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan sama ada secara individu atau berpasangan. Ianya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.

Biasanya ia menggunakan guli kaca, biji getah, ketul batu yang kecil atau ketulan-ketulan objek lai berbentuk bulat. Bilangan yang biasa digunakan sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.

Cara Bermain

Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepadaperingkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.


2) PERMAINAN DI MALAYSIA

CONGKAK

Pengenalan Mengenai Congkak

Permainan congkak ialah sejenis permainan Melayu tradisional yang digemari oleh kaum wanita dan kanak-kanak. Permainan ini memerlukan dua orang pemain.Alatan yang digunakan dalam permainan ini adalah papan congkak dan buah congkak. Kadang-kadang sebagai ganti papan congkak, lubang-lubangnya dibuat di atas tanah. Sementara biji-biji congkak pula ialah guli-guli kaca, buah getah, biji saga, batu-batu kecil dan sebagainya. Setiap papan congkak hanya boleh dimainkan oleh dua orang sahaja.

Papan congkak mengandungi 14 lubang yang dipanggil "kampung". Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "rumah".

Cara Bermain

a)Permainan ini dimulakan serentak dengan memasukkan sebiji "buah" ke dalam setiap "kampung" sendiri dan seterusnya masukkan ke dalam "rumah". Seterusnya "buah" hendaklah dimasukkan ke dalam "kampung" lawannya. Jika ia singgah di kampung lawan yang tidak ada buah ia dikira mati.
(b) Jika buah terakhir singgah di kampung lawan yang mempunyai buah, maka ia boleh meneruskan permainan.
(c) Jika ia mati di kampung sendiri, bertentangan dengan kampung lawan yang mempunyai buah, ia berhak mengambil buah lawannya itu.
(d) Sekiranya ia mati di kampung sendiri setelah melalui kampung lawan dan didapati di kampung lawan tidak ada buah, maka ia mati dalam kerugian.
(e) Di akhir permainan buah hanya tinggal beberapa biji sahaja dalam kampung masing-masing. Mereka dikehendaki berjalan tapak secara serentak menuju ke arah rumah masing-masing. Sekiranya salah seorang kehabisan buah dalam kampung ianya dikira kalah.


Congkak berukir yang berbentuk burung
Congkak yang diperbuat daripada kayu

Congkak zaman moden yang diperbuat daripada plastik.







Saturday, 1 March 2014

1)PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

PENGENALAN

Assalammualaikum Warahmatullah Hiwabarokatuh
Selamat Pagi dan Salam sejahtera

Permainan tradisional di Malaysia terdapat banyak jenis dan ada pelbagai nama. Orang dulu - dulu banyak mencipta pelbagai jenis permainan sebagai aktiviti riadah mereka di petang hari. Tetapi pada malangnya pada zaman kini, kanak - kanak kurang bermain aktiviti - aktiviti seperti kanak - kanak zaman dahulu. Mereka lebih banyak duduk di rumah dengan menghabiskan masa menghadap komputer, bermain game atau menonton televisyen. Ini kerana, kanak - kanak pada zaman kini, kurang mendapat kebebasan dari ibu bapa untuk bermain di luar rumah berikutan terlampau banyak kes jenayah - jenayah yang melibatkan kanak - kanak. Berbanding kanak - kanak dahulu yang bebas berjalan keliling kampung dan bermain bersama kawan - kawan dengan pelbagai permainan tradisional.

Permainan tradisional di Malaysia mempunyai pelbagai tarikan seperti syarat permainannya, alatan permainannya, dan sebagainya. Setiap permainan mesti ada syarat dan peraturan yang harus diikuti. Syarat dan peraturan yang ditetapkan selalunya ada maksud dan tujuan ia diwujudkan. Contohnya mewujudkan sikap bekerjasama, setia berkawan, bertoleransi, mewujudkan sikap sabar, menguji kepantasan dan sebagainya. Maka dengan itu, semasa kanak - kanak bermain, secara tidak langsung sifat dan sikap itu telah terserap dalam diri kanak - kanak secara tersendirinya. Selain mengeluarkan peluh kanak - kanak juga dapat menerapkan nilai - nilai murni dan sosioemosi meraka.